SETIAP kali mengenangkan akaun banknya yang pernah mencatatkan enam angka membuatkan perasaan Zaidi (bukan nama sebenar) terganggu. Adakalanya dia tersenyum gembira dan tidak kurang juga menangis hiba meratapi nasib yang menimpa keluarga kecilnya itu.
Tanpa disangka, wang haram hasil bergelar ‘tahi judi’ menyebabkan dia kini merempat di bawah jambatan selepas kesemua kesenangan yang pernah dimiliki hilang sekelip mata.
Bersyukur kerana masih lagi diberi peluang kedua oleh Yang Maha Esa selepas berjaya mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci tandas di sebuah pusat beli-belah, anak kelahiran Pahang itu bagaimanapun mengakui dia begitu merindui kehidupannya yang lalu.
Berkongsi kisah kepada Panorama, pemuda berusia 43 tahun itu berkata, semuanya berlaku kira-kira 15 tahun lalu apabila dia terjebak dengan aktiviti perjudian.
Katanya, kemenangan demi kemenangan berpihak kepadanya sehingga berjaya membawa pulang puluhan ribu ringgit menyebabkan dia mula hanyut dengan godaan dunia.
“Biasalah terikut-ikut dengan kawan. Pada mulanya sekadar suka-suka, tetapi selepas berjaya membawa pulang RM2,000 hasil berjudi buat pertama kali, saya jadi seronok.
“Siapa tidak seronok apabila dapat wang dengan mudah. Tidak semuanya indah dan pernah juga berhabis ribuan ringgit kerana kalah.
“Selain berjudi, saya suka menikam nombor ekor. Dari situlah saya membuat duit dengan mudah sehingga berjaya membayar ansuran bulanan bagi sebuah kereta mewah,” katanya.
Pakaian yang dahulunya hanya dibeli di kedai-kedai kecil sekitar pekan ditukar kepada butik-butik mewah sekitar Kuala Lumpur.
Bukan itu sahaja, Zaidi juga sering menikmati percutian mewah di luar negara.
Bergelar ejen hartanah, Zaidi menggunakan alasan mendapat keuntungan hasil komisyen menjual rumah untuk menutup kemewahan yang dimilikinya itu. Hakikatnya, hasil wang gaji daripada pekerjaan halalnya itu hanya sekadar cukup-cukup makan.
Mahu membeli kenderaan jenama tempatan juga perlu mengikat perut apatah lagi bercuti dan membayar ansuran kereta mewah.
Kata Zaidi, biarpun wang yang dimenanginya hasil perjudian dan bermain nombor ekor banyak, namun ia tetap membuatkan dirinya berasa tidak puas.
“Daripada bujang, saya berjaya menyunting isteri dengan wang haram itu. Kami mendirikan rumah tangga dalam satu majlis yang sangat mewah dan meriah.
“Perkahwinan kami bahagia dan saya mampu mewahkan anak dan isteri dengan apa yang mereka mahukan.
“Bagaimanapun masuk tahun ketiga usia perkahwinan, saya dan isteri sering bergaduh tentang hal-hal remeh.
“Tidak mengesyaki ia berpunca daripada sumber wang haram yang dibawa masuk ke rumah, saya beranggapan pergaduhan kecil itu hanyalah lumrah bagi pasangan suami isteri. Sedangkan, saya tidak sedar ia sebenarnya ‘teguran’ kecil daripada Tuhan,” ujarnya.
Entah apa silapnya, Zaidi berkata, dirinya semakin malas untuk bekerja hingga dibuang majikan kerana kegagalannya menjual rumah dalam tempoh enam bulan berturut-turut.
Disebabkan wang yang dimilikinya itu lebih daripada mencukupi, Zaidi tidak merasakan ia sebagai satu masalah besar buat dirinya.
“Itulah kalau sombong, sekejap sahaja Allah mahu tunjukkan. Saya kalah teruk dalam pertaruhan sehingga terpaksa berhutang dengan ah long.
“Pada waktu itu, saya yakin mampu menang wang besar dan memulangkan semula wang yang dipinjam.
“Sangkaan itu meleset sehingga saya terpaksa menyuruh isteri menggadaikan rantai dan gelang emas yang dihadiahkan sebelum ini,” ceritanya.
Kongsi Zaidi, pada ketika itu jugalah isterinya mengetahui dirinya merupakan seorang tahi judi sehingga berlaku pergaduhan besar dan perceraian.
“Malam itu merupakan detik paling sukar dalam hidup. Satu demi satu ujian datang menimpa apabila kediaman kami pula terbakar berpunca daripada kebocoran tong gas.
“Saya bersyukur kerana semua berjaya menyelamatkan diri hasil bantuan daripada jiran.
“Kejadian itulah menyebabkan saya kini terpaksa hidup merempat di bawah jambatan. Bukan tiada ahli keluarga, tetapi malu untuk bertemu mereka kerana rahsia yang saya simpan selama ini telah diketahui mereka.
“Buat masa ini, biarlah saya begini. Mungkin apabila kehidupan saya sudah kembali stabil barulah saya pulang ke kampung,” ujarnya.