fbpx

Isteri jual barangan peribadi tampung rawatan kanser suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wardah bersama Rosdi (kiri) ketika ditemui di kediaman mereka di Sitiawan baru-baru ini.

SITIAWAN – Seorang isteri tekad menjual barangan peribadinya menerusi online semata-mata untuk memastikan suaminya yang kini menderita kanser hidung tahap empat dapat sembuh daripada penyakit tersebut.

Wardah Abu Bakar, 29, berkata, tindakan itu perlu dilakukan agar suaminya, Rosdi Awit, 40, dapat meneruskan rawatan kemoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

“Sebelum ini suami telah mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan selama lima kali. Sepatutnya dia perlu menjalani 18 sesi kemoterapi, namun kekangan kewangan selain kesan daripada penyakit itu menyebabkan sesi rawatan terhenti.

“Manakan tidak, suami akan muntah-muntah serta tak selera makan dan minum. Dia akan jadi lemah dan tidak larat untuk memandu.

“Saya pula tidak berani memandu jauh. Bukan itu sahaja, kami juga perlu membayar lebih RM50 bagi setiap sesi kemoterapi, tidak termasuk kos pergi balik dan penginapan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Wardah berkata, suaminya tidak lagi bekerja sejak 2019 akibat masalah kesihatan dan hanya bergantung kepada bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM400 daripada Baitulmal.

“Selain itu, kami hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai,” katanya.

Katanya, dua daripada tiga anaknya yang berusia 8 dan 7 tahun tidak bersekolah, bahkan tidak pernah ke tadika.

“Bukan saya tak mahu hantar, tetapi memang tak mampu. Saya sedih mengenangkan nasib anak-anak, namun apakan daya, de­ngan keadaan kami,” katanya.

Sementara itu, Rosdi yang merupakan bekas pekerja swasta berkata, kanser itu menyebabkan pipinya membengkak dan menyebabkan kesukaran meneruskan aktiviti harian.

“Bengkak di pipi kiri ini dahulunya kecil sahaja, namun terus membengkak. Ia menyebabkan mata saya berasa silau selain sakit kepala.

“Bagi mendapatkan rawatan di HRPB, kami bercadang untuk berpindah ke Ipoh untuk mengelak berulang-alik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, berpindah ke Ipoh agak sukar dilakukan ketika ini kerana memerlukan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank CIMB di 7632656641 (Rosdi Awit) atau terus menghubungi talian 013-649 3514.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI