NEW DELHI – Kementerian Pertahanan India menawarkan untuk menjual 18 pesawat tempur ringan (LCA) Tejas kepada Malaysia, lapor laman berita Gulf News semalam.
Kementerian sama turut menambah bahawa Argentina, Australia, Mesir, Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Filipina juga berminat berhubung pembelian jet satu enjin tersebut.
Kerajaan India pada tahun lalu, memberikan kontrak bernilai AS$6 bilion (RM26.7 bilion) kepada firma Hindustan Aeronautics Ltd untuk 83 jet Tejas keluaran tempatan melibatkan penghantaran bermula sekitar 2023, empat dekad selepas projek itu diluluskan pada 1983.
Perdana Menteri, Narendra Modi yang berhasrat mengurangkan kebergantungan India pada peralatan pertahanan asing telah melakukan usaha diplomatik untuk mengeksport jet tersebut.
Tejas sebelum ini dibelenggu oleh beberapa isu reka bentuk dan cabaran lain dan pernah ditolak oleh Tentera Laut India kerana terlalu berat.
Kementerian Pertahanan memberitahu Parlimen bahawa Hindustan Aeronautics pada Oktober tahun lalu menjawab permintaan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia supaya mengemukakan tawaran untuk 18 jet Tejas dua tempat duduk.
“Negara-negara lain yang telah menunjukkan minat kepada pesawat LCA Tejas adalah Argentina, Australia, Mesir, AS, Indonesia, dan Filipina,” kata Menteri Pertahanan Rendah India, Ajay Bhatt, kepada Parlimen dalam jawapan bertulis.
Beliau berkata, India juga sedang berusaha untuk mengeluarkan jet pejuang tetapi enggan memberikan garis masa dengan alasan melibatkan keselamatan negara.
Britain berkata pada April lalu bahawa London akan menyokong matlamat India membina jet pejuangnya sendiri.
India kini mempunyai campuran jet pejuang Rusia, Britain dan Perancis.
Newe Delhi sedang berusaha untuk menghentikan penggunaan semua jet pejuang Rusia era Kesatuan Soviet termasuk MiG-21 menjelang 2025 susulan beberapa nahas yang membawa maut. – Agensi