PETALING JAYA – Inter Club Football League (ICFL) menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan Tigre Sporting Empire untuk menubuhkan akademi pembangunan akar umbi bola sepak remaja.
Kerjasama strategik itu bagi membolehkan pihak ICFL menggunakan segala kemudahan fasiliti di Tigre Arena untuk program akademi berkenaan bagi pemain bola sepak remaja berumur 10 hingga 16 tahun.
Menurut Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar, akademi itu menampilkan kelainan dengan peserta akan menerima latihan menyeluruh untuk menjadi pemain bintang dengan bimbingan dan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman.
“Apa yang lebih menarik, Akademi ICFL ini juga telah mencapai persetujuan untuk menjalinkan kerjasama dengan kelab Liga Perdana Inggeris terkemuka membolehkan peserta terpilih menjalani latihan di kelab berkenaan.
“Akademi ICFL dijangka menerima 60 hingga 70 penyertaan setiap fasa dan sehingga kini pendaftaran masih dibuka kepada mana-mana peserta dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Kamil dan Pengarah Urusan Tigre Sporting Empire, Norikhzan Ahmad Yahaya bagi membolehkan Akademi ICFL itu berpusat di Tigre Arena di Sungai Buloh, Selangor.
“Antara kelainan Akademi ICFL ialah pemain akan diberikan latihan berkelas antarabangsa dengan bimbingan jurulatih-jurulatih berkemahiran tinggi dan mempunyai kelulusan yang diiktiraf oleh badan induk bola sepak negara.
“Akademi ICFL juga memberi peluang kepada setiap pelatih akademi mendapat minit permainan apabila menentang pasukan dari luar negara yang akn diatur kelak,” jelas Kamil.
Sempema pelancaran Akademi ICFL dan Liga Super ICFL pada September ini, pihaknya juga telah menganjurkan kejohanan empat penjuru melibatkan pasukan ICFL, Akademi Moktar Dahari (AMD), Persip Persenggaran (Indonesia) dan APD United (Thailand).
“Pasukan AMD muncul juara kejohanan ini selepas menewaskan Persip Persenggaran 2-0 di pentas final. Kejohanan seumpama ini akan dianjurkan lebih kerap bagi memberi pengalaman kepada pemain merasa bermain di pentas tertinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE