MANCHESTER – Kecederaan yang dialami Anthony Martial dijangka membuka peluang buat Cristiano Ronaldo untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama Manchester United untuk bertemu Brighton di Old Trafford malam ini.
Bagaimanapun, pengurus The Red Devils, Erik Ten Hag lebih selesa untuk terus berteka-teki tentang kedudukan sebenar kapten Portugal itu dalam pasukan kendaliannya bagi menghadapi aksi pembukaan kali ini.
“Kita akan lihat nanti. Saya rasa kami tetap ada jalan penyelesaian untuk masalah ini,” katanya.
Sebelum ini, Ronaldo mencetuskan kontroversi selepas dilihat meninggalkan pasukan lebih awal tanpa menunggu aksi persahabatan menentang Rayo Vallecano berakhir dan situasi itu menimbulkan rasa kurang senang Ten Hag.
Namun kali ini, pengurus dari Belanda itu tampil sebaliknya apabila melabel segala kritikan terhadap Ronaldo adalah sesuatu yang tidak adil dan mahu tumpuan diberikan kepada pasukan, bukannya individu.
“Untuk memberikan tumpuan kepada Cristiano adalah sesuatu yang tidak betul kerana ada ramai pemain yang turut meninggalkan stadium. Tolong buat kajian dan senaraikan berapa ramai yang meninggalkan stadium.
“Saya berpuas hati dengan keseluruhan pasukan, cara kami bekerja dan pasukan ini memiliki penyerang hebat. Saya gembira jika Ronaldo kekal dalam pasukan dan kami akan terus berpegang kepada perancangan ini,” jelasnya. – AGENSI