BEIJING – China membuat keputusan mengenakan sekatan terhadap Nancy Pelosi dan keluarga terdekatnya susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) berkenaan ke Taiwan minggu ini, kata seorang jurucakap Kementerian Luar China kelmarin.
“Kunjungan Pelosi ke Taiwan adalah provokasi serius dan oleh kerana itu, Beijing memutuskan melaksanakan sekatan terhadap Pelosi berdasarkan undang-undang berkaitan.
“Beliau berkunjung ke pulau di bawah pemerintahan sendiri itu tanpa mempedulikan kebimbangan dan bantahan keras Beijing,” kata jurucakap berkenaan.
Menurut laman berita RT, lawatan Speaker AS itu mencabuli kedaulatan dan integriti wilayah China, menjejaskan ‘prinsip satu China’ serta mengancam keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
Antara keluarga terdekat Pelosi yang terkait dengan sekatan Beijing ialah suaminya, Paul Pelosi, juga 82 tahun. Beliau memiliki firma perunding dan pelaburan yang berpangkalan di kota raya San Franciso.
Pasangan itu turut memiliki lima anak dengan seorang daripada mereka, Christine Pelosi, 56, merupakan pakar strategi Parti Demokrat. Anak bongsu mereka, Alexandra, 51, pula ialah seorang pembuat filem dan telah menerbitkan lebih 12 filem dokumentari.
Pelosi yang merupakan pewaris ketiga kerusi Presiden AS sekiranya perkara tidak dijangka menimpa Presiden Joe Biden, tiba di Taiwan lewat Selasa lalu dan meninggalkan pulau itu keesokan harinya. Beliau merupakan pegawai AS paling tinggi pernah melawat Taipei sejak 1997.
Pelosi tetap melakukan lawatan tersebut walaupun Beijing menganggap langkahnya sebagai ‘bahaya dan satu provokasi’ serta berjanji akan mengambil tindak balas yang keras.
Ketika Pelosi masih berada di Taipei, pihak berkuasa China mengumumkan latihan tentera terbesar di Selat Taiwan dan melaksanakan sekatan ke atas pulau itu.
Peluru-peluru berpandu terbang melintasi ruang udara Taiwan semasa latihan tentera terbaharu China itu dan menyebabkan sesetengah laluan perkapalan paling sibuk di dunia tergendala.
Beijing belum mengesahkan sama ada peluru berpandunya terbang melintasi pulau-pulau Taiwan semasa latihan tenteranya, manakala Taipei enggan mengulas mengenai insiden tersebut atas faktor risikan.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan, daripada sembilan peluru berpandu Beijing yang dikesan oleh pihaknya, empat ‘dipercayai’ terbang melintasi pulau utama Taiwan kelmarin.
Latihan tentera dan latihan tembakan peluru hidup di enam kawasan maritim di sekitar Taiwan itu bermula pada Khamis lalu dan dijangka berterusan hingga hari ini.
Taiwan melaksanakan pemerintahan sendiri sejak tahun 1949 lagi tetapi tidak pernah mengisytiharkan kemerdekaan daripada China.
Di sebalik mengiktiraf Beijing sebagai satu-satunya pihak berkuasa yang sah di China sejak 1979, AS terus menjalin hubungan tidak rasmi yang kukuh termasuk menjual senjata dan menyokong usaha kemerdekaan Taipei. – Agensi