fbpx

Anuar, Ziana Zain ‘lepas gian’ hiburkan 3,000 peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR dan Ziana Zain mendendangkan hampir 20 buah lagu popular pada konsert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Lebih sedekad tiada konsert mega menemukan dengan peminat secara langsung, penyanyi adik-beradik popular Anuar dan Ziana Zain benar-benar bersemangat dan terharu apabila impian untuk ‘disatukan’ di atas sebuah pentas akhirnya terlaksana.

Melakar sejarah tersendiri, Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur malam tadi menyaksikan ‘keghairahan’ hampir 3,000 peminat setia yang sudah lama mendambakan paduan vokal hebat dua beradik itu.

Berlangsung selama hampir tiga jam, konsert yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyaksikan gandingan kali pertama pasangan adik beradik popular itu membuat persembahan mega di negara kelahiran sendiri.

TIDAK puas. Itu antara perasaan yang hadir selepas menyaksikan persembahan Anuar dan Ziana malam tadi.

Membuka tirai persembahan sekitar pukul 8.50 malam, Anuar dan Ziana membangkitkan adrenalin penonton menerusi Sangkar Cinta dan Bila Resah secara medley.

Konsert yang dihadiri pelbagai lapisan umur dan latar belakang itu turut menampilkan lagu-lagu hit Anuar dan Ziana yang berjaya membuatkan penonton terhibur serta tidak duduk diam untuk menyanyi bersama dan melayan perasaan.

Antara lagu popular yang dipersembahkan Ziana termasuklah Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah.

Sama hebat, Anuar pula menghiburkan peminat tersayang menerusi lagu-lagu popular dan berhantunya seperti Ketulusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta selain sebuah lagu berjudul Jangan Bersedih Lagi yang dibawa secara acapella.

Tambah mengujakan, ribuan penonton yang hadir turut berpeluang menyaksikan adik-beradik ini menyanyi secara duet menerusi lagu Sesuci Cintamu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan sebagai lagu penutup konsert.

Pada pertengahan konsert, Ziana mencabar diri dengan membawa lagu hits Sedetik Lebih, manakala dibalas Anuar dengan mendendangkan lagu Lara secara solo.

Ziana dalam ucapan selingan ketika persembahannya menyifatkan, doa peminat untuk melihat dia dan adik kandungnya disatukan dalam satu pentas akhirnya terlaksana setelah hampir empat tahun merancang.

“Akhirnya kita disatukan di Kuala Lumpur. Kali pertama konsert kami pada tahun 2010 di Singapura.

“Jujur saya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert,” katanya ringkas.

ANUAR dan Ziana akan kembali menghiburkan peminat di Singapura menjelang 24 September ini.

Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar memanjat kesyukuran apabila mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam tadi.

“Anda boleh pergi ke mana-mana malam ini (malam tadi), tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif buat kami.

“Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua setelah hampir empat dekad dalam industri,” katanya dalam nada sebak mengenangkan sambutan tidak berbelah bahagi yang diterima daripada peminat.

Konsert tersebut juga turut menjadi saksi apabila ada peminat yang tidak dapat menahan air mata, menjerit keriangan apabila dapat bertemu sekali gus bertentang mata melihat idola mereka membuat persembahan.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn. Bhd. itu turut menyaksikan kehadiran dan sokongan padu rakan-rakan selebriti popular antaranya Misha Omar, Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil, Ernie Zakri, Syamel, Shila Amzah, Putra Amaris, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan Rozita Che Wan.

Menjentik emosi audiens, konsert penuh gilang-gemilang berkenaan turut mendapat restu dengan kehadiran kedua ibu bapa selebriti itu iaitu Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta dua anak teruna Ziana yang setia menemani hingga ke penghujung acara.

Melabuhkan tirai persembahan sekitar pukul 11.30 malam, Anuar dan Ziana sempat berkongsi berita gembira dengan mengumumkan bakal mengadakan konsert serupa di Singapura pada 24 September depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI