PETALING JAYA – Ainul Mardhiah terus menunjukkan tanda positif untuk kembali sihat meskipun enam hari lepas dikejarkan ke dalam wad Unit Penjagaan Rapi (ICU).
Khabar gembira itu dikongsi sendiri bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi laman Facebooknya hari ini.
“Doktor seronok tengok Ainul pagi ini, setiap hari tubuh Ainul beri respon yang positif.
“Dari tempoh kritikal isnin lalu sehingga hari ini, anak kecil ini selalu tunjuk tanda yang bagus,” katanya.
Manakala ibunya, Nurul Erwani Zaidi menyatakan Ainul sudah dapat bersilang tangan semasa dia baring menandakan kesihatan semakin pulih dan mampu bergerak.
“Termenung memikirkan masa depan. Dua hari lepas sudah tidak ambil ubat tidur, Ainul berjaga sahaja, mungkin sebab lama sangat sudah tidur.
“Mama dengan walid bergilir jaga Ainul di Hospital. Semoga mama dan walid sentiasa diberikan kesihatan yang baik untuk jaga Ainul.
“Terima kasih sangat-sangat pada yang tidak putus mendoakan untuk Ainul, yang sentiasa bagi semangat pada kami. Ainul mampu dan kuat lawan kuman yang jahat dalam badan dia, Ainul memang seorang anak yang istimewa,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kesihatan Ainul Mardhiah semakin baik dan telah sedar sepenuhnya selepas hampir seminggu di rawat di PICU akibat jangkitan kuman.
Menurut bapanya, bacaan darah Ainul Mardhiah hampir normal semuanya manakala mesin ventilator sudah dimatikan serta banyak ubatan telah diberhentikan. – KOSMO! ONLINE