SERDANG – Lebih 6,000 pesawah berdaftar di seluruh negara menerima faedah kad perlindungan Takaful Kasih Plus Agrobank melalui program Komuniti Industri Tani Bernas (KITA).
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam satu kenyataan berkata, kad perlindungan takaful itu merupakan salah satu faedah yang diterima pesawah apabila menyertai program KITA.
“Program KITA merupakan salah satu usaha berterusan Bernas dalam membantu komuniti pesawah memperkasakan industri padi dan beras negara.
“Ia mula diperkenalkan pada awal tahun 2021 dan kini mempunyai lebih 9,500 ahli berdaftar (pesawah) seluruh negara. Setakat hari ini, seramai lebih 6,000 pesawah telah mula diberi perlindungan melalui kad takaful ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Antara objektif program KITA adalah membantu meningkatkan taraf hidup pesawah dengan mencipta peluang dan nilai tambah, mendorong dan membimbing pesawah ke arah peningkatan pengeluaran hasil padi tempatan.
“Selain perlindungan Takaful Kasih Plus, pesawah turut mendapat pelbagai faedah seperti pemberian Insentif Peningkatan Hasil dan Mutu Padi, diberikan pendedahan melalui pelbagai program latihan (Pembangunan dan Latihan) dan lain-lain lagi,” katanya.
Sementara itu, pesawah, Che Hassan Delah, 55, dari Pasir Puteh, Kelantan berkata, program KITA merupakan satu inisiatif yang sesuai untuk mengumpulkan semua pesawah bekerjasama di bawah satu program.
“Melalui platform ini segala perbincangan serta idea boleh dikongsi bersama pesawah dari seluruh Malaysia. Kami juga diberi latihan seperti pengenalan kepada jadual kerja ladang untuk meningkatkan hasil serta kualiti padi kami.
“Saya menyarankan rakan-rakan pesawah lain agar menyertai program KITA kerana ahli akan dapat banyak faedah,” katanya.
Pesawah, Mohd. Noor Hashim, 59, dari Kuala Perlis, Perlis meluahkan perasaan terharu apabila golongan pesawah diberi perhatian dengan faedah kad perlindungan takaful.
“Alhamdulillah dengan menyertai program ini, pesawah juga dapat menikmati pelbagai faedah. Setelah menjadi pesawah lebih 28 tahun, ini merupakan kali pertama saya menerima faedah seperti skim perlindungan Takaful Kasih Plus.
“Saya merasa amat dihargai dan tidak menyangka bahawa golongan pesawah juga diberikan perhatian. Skim perlindungan yang diberikan ini memberikan satu jaminan dari segi kesihatan dan juga keselamatan ketika melakukan kerja aktiviti bendang,” katanya. -KOSMO! ONLINE