SERDANG – Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor agromakanan sebagai langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MAFI sebagai peneraju utama sektor agromakanan perlu memastikan setiap perancangan, dasar dan pelan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan dan ketahanan sistem agromakanan.
“Sebagai permulaan, subsektor padi dan beras telah dipilih sebagai projek rintis kementerian yang bakal
memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara peringkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain.
“Skim ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) di MAEPS Serdang hari ini.
Tambah Ismail Sabri, para pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit. – KOSMO! ONLINE.