fbpx

Saya memang menganggur, tapi tidaklah terdesak – Aril Pilus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiada tawaran pekerjaan dan hidup menganggur sejak Ramadan lalu, penyanyi dan pengacara Aril Pilus mengakui hidupnya sangat terkesan namun tidak pernah menagih simpati atau meminjam wang daripada kenalan terdekat.

Kata Aril, dia tidak malu mengakui sememangnya sudah tiada pekerjaan tetap sejak program CCTV yang dikendalikannya sejak tujuh tahun lalu ditamat siaran oleh Astro .

“Setelah tujuh tahun mengendalikan program CCTV, pihak Astro buat keputusan menamatkannya. Kali terakhir bersiaran pada bulan puasa lalu.

“Tipulah kalau cakap saya tak terkesan. Sesiapa yang alami perkara yang serupa juga akan memahami perasaan tersebut.

“Alhamdulillah, walaupun dah tak ada kerja sekarang, saya belum lagi terdesak sehingga terpaksa meminjam duit orang. Saya sendiri berharap dan berdoa agar tak sampai ke tahap itu,” kata Aril selepas sidang akhbar pelancaran single terbaharu Irfan Haris berjudul Bisik di sini semalam.

Pada masa sama, Aril berkata, gaya hidup bersederhana selama ini juga sedikit sebanyak membantunya menguruskan kewangan keluarga dengan baik.

“Bila jadi macam ini, saya lihat balik dan bersyukur sekurang-kurangnya saya ini bukan jenis orang yang suka hidup bermewah-mewah

“Jujur saya tak pandai dan tiada keinginan nak pakai kad kredit dan hutang saya dengan pihak bank cuma kereta selain bil harian.

“Saya tak berbelanja barang jenama mewah. Zaman itu semua sudah berlalu dan pernah saya lalui,” katanya.

Buat masa ini Aril bersama rakannya juga pengacara Alif Farhan sedang giat mengembangkan saluran YouTube mereka menerusi program Gila Geng.

Gila Geng merupakan sebuah platform untuk mana-mana sahaja selebriti yang ingin mempromosikan lagu, drama dan sebagainya.

Aril, 37, yang merupakan adik kepada Allahyarham penyanyi Izwan Pilus mendirikan rumah tangga bersama Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin pada 20 Disember 2013.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Tun Adriel Mikael yang kini berusia tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI