fbpx

Pendaki Mont Blanc perlu bayar RM68,000 untuk kos kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pendaki mengambil bahagian dalam pendakian khas antara Perancis dan Itali di gunung Mont Blanc pada 10 Julai 2021. - AFP

PARIS – Pendaki yang ingin menawan puncak tertinggi di Eropah, Mont Blanc perlu membayar wang deposit berjumlah €15,000 (RM68,402) sebelum memulakan pendakian bagi menampung kos sekiranya mereka perlu diselamatkan atau meninggal dunia, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Deposit itu akan dikenakan kepada pendaki yang cuba mencapai puncak setinggi 4,807 meter melalui laluan terkenal di Perancis, Gouter Route.

Datuk Bandar Saint-Gervais-les-Bains, Jean-Marc Peillex memperkenalkan langkah itu sebagai tindak balas kepada tindakan pendaki yang mengingkari amaran dan membahayakan nyawa mereka.

Deposit tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu €10,000 (RM45,601) meliputi kos menyelamat dan €5,000 (RM22,800) untuk menampung kos pengebumian.

Laluan Gouter Route boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang mempunyai mana-mana tahap kemahiran, namun pegawai berkata, bilangan pendaki yang tidak berpengalaman semakin meningkat.

Runtuhan batu yang banyak pada pertengahan Julai lalu menyebabkan pentadbiran tempatan menasihati orang ramai agar mengelak daripada mendaki selain jurupandu arah turut menangguhkan operasi mereka.

Gelombang haba yang melanda baru-baru ini menjadikan keadaan di gunung itu lebih berbahaya, sekali gus mendedahkan kepada keadaan keretakan besar-besaran, lantas mencetuskan runtuhan batu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Twitter, Peillex berkata, idea untuk menggariskan peraturan pembayaran deposit itu muncul selepas lima pelawat Romania cuba mendaki dengan memakai seluar pendek, kasut sukan kasual dan topi jerami, namun hasrat mereka dihalang polis gunung.

Bagaimanapun, pendaki lain masih boleh mencuba untuk mendaki puncak Mont Blanc tanpa perlu membayar deposit jika memulakan pendakian di laluan trek bahagian Itali. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI