LONDON – Pasukan pilihan, Liverpool memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan langkah sumbang selepas diikat pendatang baharu, Fulham dengan keputusan 2-2 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Craven Cottage itu, skuad The Reds kendalian Jurgen Klopp membariskan kesebelasan utama dengan jentera serangan dibarisi Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Luis Diaz.
Fulham yang dibimbing oleh Marco Silva pula mempertaruhkan penyerang sensasi, Aleksandar Mitrovic untuk merobek gawang Liverpool.
Kepercayaan yang diberikan dibalas oleh Mitrovic apabila meledak gol pertama selepas menyudahkan hantaran Kenny Tete pada minit ke-32.
Bersambung pada babak kedua, Klopp yang agak tertekan memasukkan penyerang termahal dalam sejarah Liverpool, Darwin Nunez untuk digantikan dengan Firmino.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu tidak menunggu lama untuk meledak gol pada aksi debut pertamanya dalam kancah EPL selepas melakukan jaringan pada minit ke-64.
Namun, kegembiraan Liverpool tidak bertahan lama selepas Mitrovic meledak gol kedua peribadi selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72.
Liverpool yang terdesak memburu jaringan penyamaan akhirnya berhasil menerusi penyudah Salah yang berjaya memanfaatkan hantaran Nunez pada minit ke-80.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE