KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mendedahkan butiran siasatan berhubung projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana ia melibatkan sensitiviti dan campur tangan banyak pihak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihak SPRM sudah merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara namun tidak boleh mendedahkan butiran lanjut berkenaan perkara tersebut.
“Siasatan berkenaan perkara itu memang sudah dijalankan sudah banyak tahun, sekarang saya tak nak umumkan lagi siasatan berada di peringkat mana dan apakah keputusannya demi menjaga sensitiviti.
“Ramai yang mempersoalkan seolah-olah kami (SPRM) tidak menjalankan siasatan, banyak kali saya kata SPRM sudah siasat dan dalam peringkat akhir penyiasatan. Banyak kali saya pernah sebut perkara ini.
“Saya kena jaga sensitiviti berkaitan hal-hal penyiasatan dan juga kerahsiaan kes tersebut, ini kerana ia bukan sahaja melibatkan SPRM bahkan juga membabitkan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Peguam Negara,” ujarnya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Pertemuan Tahunan Ahli MCW 2022 dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021-2022 dan Pingat Bakti MCW 2022 di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Jalan Duta di sini.
Jelas beliau, pihaknya memberi jaminan akan mengumumkan hasil siasatan apabila tiba masanya nanti.
“Sebelum itu, saya kena bincang perkara ini dengan pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak yang terlibat barulah kita boleh buat kenyataan,” ujarnya.
Terdahulu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya berhubung projek itu memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.
Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yan