LONDON – Pemain pertahanan Chelsea, Kalidou Koulibaly sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai tonggak pertahanan The Blues menjelang aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton di Goodison Park tengah malam ini.
Beban yang ditanggung pemain antarabangsa Senegal itu pasti cukup tinggi selepas dia membuat keputusan untuk mengambil alih jersi keramat No.26 yang pernah disarung legenda Chelsea, John Terry.
Koulibaly berharap semua peminat The Blues memberikannya sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan saingan EPL bagi memastikan dia dapat menampilkan aksi sama seperti di Napoli.
“Saya berusia 31 tahun, tetapi saya yakin mampu berikan sesuatu kepada pasukan. Pihak pengurusan menaruh sepenuh kepercayaan kepada saya, jadi saya perlu buktikan pelaburan mereka berbaloi.
“Saya tidak boleh tampilkan kemampuan sebenar pada penampilan pertama kerana ia memerlukan masa. Dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas menyesuaikan diri, saya akan berada pada prestasi terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Koulibaly mendedahkan, dia menghubungi Terry secara peribadi bagi meminta kebenaran untuk menyarung jersi No.26 memandangkan dia turut menggunakan jersi sama ketika bersama Napoli.
“John (Terry) meninggalkan pasukan pada 2017 dan tidak ada sesiapa menggunakan nombor tersebut, jadi saya hubungi beliau untuk minta kebenaran. Saya sangat gembira kerana beliau izinkan saya menggunakan nombor tersebut,” ujarnya. – AGENSI