JAKARTA – Seorang wanita di Gorontalo, Indonesia yang berjaya ‘menangkap’ suaminya curang bersama perempuan lain bertindak memecahkan cermin hadapan kereta ketika kedua-dua mereka berada di dalam kenderaan tersebut, lapor laman berita Kompas semalam.
Kejadian berlaku di Jalan Raden Saleh, Kota Gorontalo, Sulawesi apabila wanita yang sedang menunggang motosikal menyedari suami dan perempuan simpanannya sedang berdua-duaan di dalam kereta.
Terkejut melihat isterinya, lelaki itu cuba untuk melanggar motosikal wanita itu namun tidak berjaya.
Berang kerana hampir dilanggar suami sendiri, wanita tersebut memberhentikan motosikal lalu memegang topi keledar sebelum menghempasnya ke atas cermin hadapan kereta.
Lelaki tersebut memilih untuk melarikan diri bersama teman wanitanya dan membiarkan keretanya tersadai di jalan.
“Mungkin kerana dia sedang berjanji temu dengan wanita itu, sebab itu dia cuba melanggar saya.
“Saya terus berhenti di lampu isyarat merah, turun dan memecahkan cermin kereta,” kata isteri yang dikenali sebagai SU.
SU dan suaminya masing-masing membuat laporan polis dengan lelaki itu mengatakan isterinya telah melakukan kesalahan vandalisme dengan memecahkan cermin keretanya. – Agensi