Pada 1966, Tan Sri M. Jegathesan atau lebih dikenali sebagai ‘The Flying Doctor’ menjadi pelari pecut 100 meter (m) pertama negara memenangi pingat emas Sukan Asia di Bangkok.
16 tahun selepas itu pada 1982, seorang lagi jaguh pecut negara, Datuk Rabuan Pit berjaya memenangi emas di Sukan Asia New Delhi. Masa yang dicatat Jegathesan ialah 10.5 saat (s), manakala Rabuan pula mencatat 10.68s untuk menjadi manusia terpantas di Asia pada era masing-masing.
Namun selepas 40 tahun, tiada lagi pelari pecut Malaysia yang mampu menyinar di peringkat Asia. Yang ada hanyalah di peringkat Asia Tenggara iaitu pada peringkat temasya Sukan Sea.
Antara jaguh pecut negara yang lahir selepas itu ialah Watson Nyambek, Nazmizan Muhamad dan Khairul Hafiz Jantan. Mereka pelari pecut yang hebat, namun masih tidak mampu menembusi peringkat Asia.
Bagaimanapun, kejayaan bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi memecahkan rekod kebangsaan dengan 10.09s bagi acara 100m di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia 2 Ogos lalu bagai memberi sinar baharu dalam usaha negara mencari raja pecut baharu di peringkat Asia.
Dengan usianya yang baru mencecah 18 tahun, Azeem dilihat berpotensi digilap untuk ‘melombong emas’ bukan sahaja di balapan Sukan Sea, malah di peringkat Asia.
Dengan catatan masa 10.09s, rasanya seperti tidak mustahil untuk Azeem menjadi manusia pertama dari rantau Asia Tenggara yang mampu berlari di bawah 10s dalam dua tiga tahun akan datang.
Memang ia kelihatan sukar, tetapi dengan saingan sengit yang diberikan dua jaguh pecut Asia Tenggara ketika ini iaitu Puriphon Boonsorn dari Thailand (10.19s) dan Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia (10.03s), mungkin ia dapat mendorong atlet muda itu mecapai cita-citanya.
Bagi merealisasikan impian itu, Azeem perlu didedahkan kepada program latihan yang dikawal selia dan dibimbing jurulatih handal yang tepat. Jika perlu keluar negara, maka pergilah.
Paling penting ialah semua program latihan, rakan sepelatih dan pertandingan yang akan disertai mestilah pada peringkat yang tertinggi.
Rasanya keputusan Azeem memilih Amerika Syarikat sebagai lokasi untuk ‘menuntut ilmu’ memang tepat, kerana negara itu memang terkenal sebagai tempat melahirkan ramai jaguh-jaguh pecut handalan dunia selain rakan-rakan sepelatih di sana mampu meningkatkan prestasinya.
Apa-apa pun, segalanya kini terpulang kepada Azeem sendiri. Seharusnya dia mempunyai cita-cita besar.
Kita mungkin sukar untuk menyaingi pelari pecut tahap dunia, tetapi setidak-tidaknya mampu mengukir nama seperti Su Bingtian yang merekodkan personal best 9.83s untuk menjadi manusia terpantas di Asia ketika ini.
Paling penting, catatatan 10.09s yang direkodkan di Cali itu seharusnya tidak menjadi satu-satunya rekod yang dicipta dan selepas itu tenggelam dan hilang dibawa arus begitu sahaja.
Malah, negara pula tidak boleh berhenti daripada usaha-usaha untuk melahirkan lebih ramai atlet pecut lain supaya mampu memberi saingan kepada Azeem, selain menamatkan kemarau emas 40 tahun di peringkat Asia.
Tiada yang mustahil.