LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak kemungkinan saingan final Piala FA musim ini dilangsungkan secara timbal balik selepas status venue perlawanan masih belum dapat diputuskan setakat ini.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, secara teknikal perlawanan Piala FA pada saingan musim ini bakal dilangsungkan dalam satu perlawanan sahaja, tetapi tidak menolak perlawanan timbal balik akan berlaku pada final edisi akan datang.
“Saingan final Piala FA musim ini akan diadakan secara kalah mati. Pada awalnya, ada cadangan untuk dilakukan secara timbal balik, tetapi mungkin untuk edisi akan datang kerana ia tidak pernah dibuat dalam sejarah Piala FA.
“Secara jujur, MFL tidak boleh sesuka hati mengubah peraturan kerana ia sudah dibuat pada peringkat awal, justeru, saya jangkakan tiada perubahan dan aksi final akan kekal dilakukan secara sepusingan.
“Cuma, buat masa ini MFL sedang berusaha untuk mengesahkan venue serta tarikh perlawanan sebelum pengumuman rasmi dapat disahkan selewat-lewatnya pada minggu depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Ghani mengakui pihak MFL masih lagi meneliti venue yang bersesuaian untuk dilangsungkan perlawanan final dengan pilihan utama pengelola badan Liga Malaysia (Liga M) buat masa ini adalah Stadium Hang Jebat, Melaka.
“Ada beberapa venue yang boleh dijadikan venue pentas final dengan syarat ia mestilah stadium berkecuali. Buat masa ini, antara yang dikenal pasti adalah Stadium Hang Jebat, Melaka.
“Dalam masa yang sama, kita juga sedang berbincang dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sekiranya boleh menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk final yang dijangka berlangsung pada penghujung bulan ini,” katanya.
Sebagai rekod, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengesahkan SNBJ ditutup buat sementara waktu selepas keadaan padang yang tidak mencapai piawaian memuaskan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 Jun lepas. – KOSMO! ONLINE