fbpx

Wanita dicekup bawa 14 ekor anjing seludup bernilai RM112,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sangkar mengandungi 14 ekor anjing berada di dalam bonet kereta yang dipandu seorang wanita ketika ditahan di SJR Lalang Pepuyu, Bukit Bunga dekat Tanah Merah semalam. /FOTO IHSAN POLIS

KOTA BHARU – Seorang wanita dicekup selepas dipercayai membawa sebanyak 14 ekor anjing seludup yang dianggarkan bernilai RM112,000 di dalam sebuah kereta di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Bukit Bunga dekat Tanah Merah semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek berusia 25 tahun itu ditahan semasa tiba di SJR berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurutnya, anggota Batalion 8, Pasukan Gerakan Am telah menjalankan pemeriksaan di dalam kereta itu sebelum menemui sangkar-sangkar yang mengandungi 14 ekor anjing.

“Siasatan mendapati, kesemua anjing itu dipercayai diseludup dari Thailand.

“Suspek telah ditahan dan kesemua anjing itu dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu di sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Muhamad Zaki, anjing-anjing yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Maqis 2011. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI