PENJAGAAN kesihatan diri lebih-lebih lagi berkaitan jantung adalah sesuatu yang penting dan perlu diambil serius oleh setiap individu.
Salah satu kaedah bagi mengetahui tahap kesihatan jantung anda adalah menerusi ujian stres jantung.
Menerusi ujian itu, doktor dapat mengetahui sama ada anda berada dalam golongan berisiko tinggi untuk mendapat serangan jantung atau sebaliknya.
Ujian tersebut dilakukan oleh ahli perubatan bertauliah dan kebiasaannya dilakukan di hospital atau klinik kesihatan.
Pesakit akan dipantau sejauh mana organ itu boleh mengepam darah dengan efisien sebelum rentaknya menjadi tidak normal.
Dalam hal ini, terdapat beberapa jenis ujian stres jantung yang boleh dilakukan bagi menguji kekuatan organ dalaman yang penting itu.
Paling kerap dan mudah didapati di hospital adalah ujian stres senaman atau lebih dikenali dengan exercise stress test.
Ujian berkenaan mampu memberi gambaran kepada doktor sejauh mana jantung dapat bertahan dengan kadar stres yang diberikan.
Semasa ujian dilakukan, anda akan berjalan atau berlari di mesin treadmill.
Pegawai perubatan akan menambah kesukaran ujian stres ini dengan meningkatkan kelajuan treadmill supaya denyutan jantung menjadi lebih laju dan tekanan darah meningkat naik.
Rentak jantung dipantau menggunakan alat electrocardiogram sepanjang ujian dijalankan.
Dalam pada itu, ujian lain yang boleh dilakukan bagi menguji kekuatan jantung adalah ujian stres echo dan stres nuklear.
Anda mungkin bertanya, mengapa perlu melakukan ujian stres jantung ini?
Kebiasaannya, doktor akan mengesyorkan ujian stres jantung jika anda mempunyai sakit dada, sesak nafas atau berasakan jantung tidak sekata atau kuat.
Ia juga dapat memberitahu doktor jika jantung mendapat darah beroksigen yang cukup dan kadar perjalanan darah lancar semasa ujian dibuat.
Selain itu, ia juga penting bagi doktor mengetahui adakah ubat jantung yang disyorkan memberi kesan positif dan juga memastikan sama ada anda sudah ada penyakit jantung.
Jika berumur lebih 40 tahun atau mempunyai risiko untuk mendapat serangan jantung seperti ada penyakit kencing manis, darah tinggi atau tinggi kandungan kolesterol dalam darah, anda seharusnya segera berjumpa doktor.
Ini bagi mengetahui sama ada anda perlu menjalani ujian stres jantung.
Anda seharusnya memakai pakaian yang digunakan semasa senaman bersama kasut sukan semasa ujian dilakukan.
Jika mempunyai masalah asma atau penyakit lelah paru-paru lain, anda digalakkan untuk membawa inhaler semasa melakukan ujian tersebut.
Anda tidak digalakkan untuk berhenti daripada mengambil inhaler atau ubat jantung sebelum melakukan ujian stres, melainkan sudah dimaklumkan oleh doktor yang bertugas.
Justeru, anda perlu mendapat nasihat daripada doktor berhubung penggunaan inhaler atau ubat sebelum melakukan ujian stres jantung.
Sebelum ujian dilakukan, doktor akan mengukur kadar denyutan jantung (nadi) dan tekanan darah.
Ujian tersebut menjadi semakin sukar bagi tempoh tertentu sehingga kadar nadi maksimum tercapai atau anda menjadi penat.
Data daripada ujian itu akan digunakan oleh doktor untuk mengetahui sama ada terdapat risiko mendapat serangan jantung atau mempunyai masalah rentak jantung kurang normal.
Pesakit tidak perlu bimbang kerana secara umumnya, ujian yang dilakukan itu adalah selamat.
Bagaimanapun, terdapat juga risiko-risiko tertentu sewaktu menjalani ujian tersebut seperti sakit dada, pengsan, serangan jantung atau jantung berdebar dengan tidak sekata.
Namun, untuk mendapat risiko-risiko tersebut adalah rendah kerana doktor sudah memeriksa pesakit sebelum memberi kebenaran bagi menjalani ujian stres jantung.