KLUANG – Seorang remaja cedera parah pada kepala selepas motosikal ditunggang terlanggar seekor gajah dalam kejadian di Jalan Kluang – Kota Tinggi antara Taman Seri Impian ke Bulatan MARDI di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, mangsa, Muhammad Danish Saedin, 17, mengalami pendarahan dalam kepala dan kini sedang menjalani operasi pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Menurut ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata, anaknya keluar rumah di Taman Sri Lambak untuk mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian.
“Kawan dia datang rumah beritahu anak saya kemalangan langgar gajah, saya terus bergegas ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
“Anak saya dirujuk ke HSA semalam dan pagi ini akan menjalani pembedahan pada kepala dia.
“Kami sekeluarga berharap ada keajaiban buat anak kami kembali sembuh,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mislawati berkata, pihak berkuasa khususnya yang mengendalikan haiwan dan binatang liar memandang serius kehadiran kawanan gajah yang sudah sekian lama menghantui penduduk sekitar.
Jelasnya, dia juga dimaklumkan kawasan kemalangan tiada lampu jalan yang dipasang di laluan berkenaan. – KOSMO! ONLINE