KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas apabila perahu yang dinaikinya bersama keluarga karam dalam kejadian di Sungai Rajang, Kapit, di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.45 pagi apabila enjin perahu dinaiki empat sekeluarga itu menghadapi masalah.
“Enjin perahu mengalami masalah dan gagal dihidupkan menyebabkan perahu hanyut lalu melanggar tongkang yang berlabuh mengakibatkan perahu berkenaan karam.
“Ayah mangsa, Antas Agang bersama isteri dan salah seorang anaknya berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa, Jenggut Atas, 10, hilang dikhuatiri lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bersama anggota polis. – KOSMO! ONLINE