TANJUNG MALIM – Polis mengesan aktiviti penyamaran di daerah ini oleh seorang individu yang memperdaya mangsa bagi tujuan penipuan dengan melarikan wang hasil jualan.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, empat laporan polis diterima membabitkan suspek berusia 30-an yang dikatakan menyamar sebagai pegawai bank dan wakil syarikat kononnya bagi membuat kutipan wang jualan untuk dimasuk ke dalam bank.
Katanya, kegiatan itu biasanya dilakukan suspek ketika pengurus kedai tiada di premis berkenaan.
“Suspek yang berpakaian kemas akan memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat atau pegawai bank yang telah dilantik oleh pihak syarikat kepada pekerja di kaunter pembayaran.
“Setelah mengetahui pengurus tiada di premis, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa pengurus mewakilkannya untuk mengutip hasil jualan di premis tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, terdapat empat kejadian membabitkan individu sama sejak Januari lalu melibatkan kerugian berjumlah RM9,250. – KOSMO! ONLINE