JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar tiada mana-mana pegawai tentera khususnya daripada Rejimen Gerak Khas bermain politik untuk mendapatkan pangkat dan jawatan.
Titah baginda, jika masih ada pihak berbuat demikian, baginda akan berundur daripada terus menjadi Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas.
“Bagi mengukuhkan Kor Gerak Khas, perancangan sumber manusia yang lebih tersusun mesti dibuat supaya pegawai pelapis berkualiti dapat dihasilkan secara berterusan.
“Justeru, jangan ada pegawai yang berpolitik untuk mendapatkan pangkat atau jawatan tertentu kerana saya sendiri akan meneliti segala urusan kenaikan pangkat serta penempatan pegawai yang terlibat.
“Saya harap selepas ini, pihak Panglima Tentera Darat dan Panglima Gerak Khas jangan pandai-pandai buat keputusan kenaikan pangkat tanpa merujuk kepada saya dahulu,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Mersing, hari ini.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Titah baginda lagi, penilaian akan dibuat mengikut merit dan bersandarkan kepada latar belakang serta prestasi pegawai berkenaan.
“Saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau mengikut kem tertentu. Suka juga saya ingatkan bahawa segala perjawatan dan pangkat yang telah diperuntukkan kepada Gerak Khas tidak boleh diberikan atau dipinjamkan kepada Kor lain.
“Jangan ada pihak yang memandang GGK dengan sebelah mata. Jika ada pihak yang membelakangkan saya, maka saya rasa tidak perlu lagi untuk saya terus menjadi Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas,” titahnya. – KOSMO! ONLINE