PETALING JAYA – Gabungan parti politik dikenali Gerakan Tanah Air yang dianggotai empat parti politik serta NGO Melayu dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam dijangka tidak bertahan lama.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, gabungan tersebut hanya mampu bertahan selagi bekas perdana menteri itu berjaya memimpinnya.
“Jika dilihat, pengalaman pemimpin lain dalam gagasan tersebut amat kurang berbanding Tun, maka saya percaya muafakat terbaharu itu tidak akan tahan lama.
“Saya tidak melihat cubaan Mahathir ini sebagai cara halus beliau untuk memecahkan perpaduan orang Melayu atau sebaliknya, tetapi lebih kepada usaha untuk kekal aktif dan dihormati, ” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.
Tambahnya, Pejuang memang ketandusan pemimpin, pengalaman serta gaya pentadbiran yang dibawa Mahathir ternyata tidak setaraf dengan pemimpin parti dalam gabungan tersebut.
“Kita boleh lihat hasilnya nanti selepas ketiadaan Mahathir,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Langkawi itu telah mengumumkan penubuhan gagasan baharu bertujuan bagi mempertahankan Malaysia.
Gabungan tersebut dianggotai Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Mahathir selaku pengerusi gerakan itu berkata, gabungan terdiri daripada parti Melayu, NGO dan orang perseorangan itu akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 nanti. – KOSMO! ONLINE.