SEBERANG PERAI – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) melepaskan dua ekor lembu yang ditangkap Pasukan Tangkapan Haiwan Merayau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Perai pada Selasa lalu.
Pegawai Pendidikan CAP, N. V Subbarow berkata, hal demikian kerana dua ekor haiwan yang ditangkap semasa berkeliaran berhampiran sebuah stesen minyak itu dikatakan sedang bunting.
“Seekor daripada lembu itu bunting empat bulan manakala seekor lagi (bunting) lapan bulan. Seekor daripadanya mampu menghasilkan 15 liter susu setiap hari.
“Jika susu itu tidak dirembeskan, ambing lembu akan rosak dan lembu tidak akan dapat beri susu sehingga boleh menyebabkan kematian.
“Jika lembu-lembu itu sedang makan rumput di tempat awam, panggil pemiliknya. Kenapa pula perlu ditangkap dan diseret ke dalam lori majlis (MBSP)?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Subarrow mendakwa, ketika ditangkap, kaki lembu itu turut diikat dan haiwan tersebut juga berada dalam keadaan tidak sedar kerana diberi ubat penenang.
“Apabila pemilik lembu ingin melawat haiwan mereka untuk diberi makanan dan merembes (memerah) susu, mereka tidak dibenar berbuat demikian.
“Lembu-lembu itu sedang bunting dan CAP tidak boleh menerima perbuatan mengheret lembu seperti orang mati. Ia perlu dibebaskan agar dapat hidup dalam persekitaran yang lebih aman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE