IPOH – Kerajaan digesa campur tangan menyelesaikan kemelut yang dihadapi penghantar makanan selepas syarikat penghantaran makanan didakwa menindas golongan berkenaan dari segi pengurangan pendapatan.
Salah seorang penghantar makanan, yang hanya ingin dikenali sebagai Zack berkata, mereka semua sudah tidak mampu bertahan dengan penindasan yang dilakukan terhadap mereka.
Menurut beliau, penghantar makanan sudah cukup tertekan dengan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat dan kemudian ditambah pula dengan pengurangan pendapatan yang dihadapi mereka.
“Seperti yang sedia maklum kita buat ‘blackout’ ini adalah kerana ketidakpuasan hati kami penghantar makanan terhadap syarikat-syarikat penghantar makanan terutamanya mengurangkan bayaran penghantaran yang kami lakukan.
“Bila kami hantar satu pesanan makanan dalam jarak dekat, kami menerima bayaran RM4 tetapi bila kami dapat pesanan berganda atau tiga kali sehala, bayaran yang kami terima adalah antara RM6 hingga RM8, jadi mana baki duit jika kami hantar 3 lokasi sepatutnya RM12.
“Kemana larinya wang kami, siapa yang ambil, siapa yang makan duit itu kerana itu hak kami duit kami dan bukan hak syarikat, itu sebab kami marah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Zack turut memaklumkan sebelum ini sekitar tahun 2020 beliau mampu memperoleh pendapatan RM130 hingga RM150 sehari bagi tempoh menghantar makanan bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang. – KOSMO! ONLINE