fbpx

AUG 2022: Malaysia tak dapat bawa pulang ‘ibu pingat emas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain dan jurulatih bergambar bersama pingat perak dimenangi selepas tewas 1-2 kepada final AUG 2022 di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat hari ini.

UBON RATCHATHANI – Skuad bola sepak negara tetap boleh mendabik dada atas pencapaian pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 biarpun gagal menamatkan dominasi Thailand sejak sekian lama.

Impian Malaysia untuk membawa pulang ibu pingat emas itu buat kali pertama dalam sejarah penganjuran AUG tidak kesampaian selepas tewas tipis 1-2 kepada skuad Gajah Perang tersebut pada aksi final hari ini.

Dua gol Thailand dalam aksi itu dijaringkan oleh Chanmunti Kantinan pada minit ke-23 dan 45.

Jaringan tunggal skuad negara di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu dijaringkan oleh Mohamad Syahir Abdul Rahman pada minit ke-78.

Ketua jurulatih pasukan bola sepak AUG, Ridzuan Abu Shah tetap berbangga dengan keseluruhan prestasi anak-anak buahnya yang semuanya merupakan penuntut dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Seperti yang dilihat pada permulaan perlawanan tadi nampak pemainan sedikit perlahan dan kemudian pihak lawan berjaya menghasilkan gol pertama mereka.

“Kita cuba bangkit tetapi berlaku kesilapan lagi bagi membolehkan Thailand untuk menjaringkan gol.

“Pemain sudah mencuba segala-galanya terutama di separuh masa kedua. Apa-apa pun saya berpuas hati dengan prestasi mereka,” katanya.

Biarpun memenangi pingat perak, namun pencapaian pada AUG ke-20 kali ini boleh dibanggakan kerana kali terakhir Malaysia melangkah ke final sewaktu muncul naib juara edisi 2008 di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI