UBON RATCHATHANI – Penantian dua tahun ratu wushu negara, Tan Cheong Min untuk kembali beraksi di pentas antarabangsa berakhir dengan penuh kejayaan.
Ia selepas juara dunia itu menepati ramalan memenangi pingat emas acara Nanquan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dalam aksi final di Sunee Tower hari ini.
Cheong Min, 24, mengutip 9.55 mata untuk menewaakan pemenang pingat perak dari Myanmar, Aye Thitsar Myint (9.52 mata) dan atlet Singapura, Josephine Lee Sze Min di tempat ketiga dengan 9.21 mata.
“Saya gembira dapat meraih pingat emas selepas dua tahun tiada kejohanan kerana Covid-19. Acara saya pun tiada di Sukan SEA Manila 2019 dan Vietnam 2021.
“Untuk persembahan hari ini, sebenarnya agak berpuas hati dan ia juga mencapai jangkaan yang diletakkan. Walaupun ada sedikit gugup tetapi berjaya mengatasinya dengan baik,” kata Cheong Min.
Hasrat kem wushu untuk terus menambah emas tidak kesampaian selepas Lee Jia Rong dan Tan Cheong Wan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam acara masing-masing.
Cheong wan yang sebelum ini memenangi pingat emas dalam acara Gunshu lelaki, terpaksa akur kepada atlet Indonesia, Marvelo Edgar Xavier.
Jia Rong pula meraih tempat kedua acara Qiangshu wanita selepas meraih 9.54 mata berbanding atlet Singapura, Le Yin Shuen yang mendapat 9.59 mata, manakala gangsa dimemangi serang lagi atlet Malaysia, Tammy Tan Hui Ling (9.46 mata). – KOSMO! ONLINE