SELEPAS lima tahun tertangguh, Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) kembali mengiktiraf hasil kerja penggiat industri muzik dengan membuka penyertaan kepada karya yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Januari 2021 hingga 30 Jun tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, selepas perbincangan dengan jawatankuasa penganjur, mereka memutuskan untuk membuka penyertaan bagi karya terkini.
“Jika ikut kebiasaan AIM, kita menilai lagu yang diterbitkan dalam tempoh setahun, tetapi berikutan faktor penajaan selain dua tahun kebelakangan ini negara berdepan serangan Covid-19 membuatkan enam tahun majlis pengiktirafan ini tertangguh.
“Begitupun kita tidak dapat menghimpunkan semua karya dari tahun 2017, jadi selepas perbincangan kita putuskan buka penyertaan untuk penerbitan terkini bermula Januari 2021.
“Andai mengambil produk tahun yang lebih lama dari itu, AIM akan dilihat tidak terkini. Saya pasti syarikat rakaman dan penggiat industri seni memahami situasi ini selain akan memberi sokongan.
“Saya percaya walaupun tidak dapat menyertai AIM23 disebabkan faktor melebihi tempoh, karya mereka tentu saja layak untuk diiktiraf dalam platform anugerah yang lain,” katanya dalam majlis pengumuman AIM23 baru-baru ini.
Majlis anugerah yang mempertandingkan 26 kategori tersebut akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada 11 September depan dipancarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Era FM bermula pukul 9 malam.
Tambah Rosmin, tahun ini AIM Mandarin dan Tamil yang dimansuhkan dimasukkan sekali dalam AIM23 menerusi pengenalan tiga anugerah baharu iaitu Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, dan Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing.
“Kami membuat keputusan memansuhkan AIM edisi Mandarin dan Tamil sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.
“Lagipun jika dilihat kembali, rata-rata pengikut AIM terdiri daripada penonton Melayu. Jadi kami merasakan adalah relevan jika lagu Mandarin dan Tamil dimasukkan dalam kategori anugerah utama saja,” katanya.
Pencalonan AIM dibuka untuk Lagu/Album dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India bermula 1 Januari sehingga 30 Jun lalu.
Kategori lain termasuk Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik, Video Muzik Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik.
Tempoh pencalonan pula dibuka bermula 27 Julai lalu dan ditutup pada 5 Ogos (hari ini) tepat pukul 5 petang.
Sementara itu, Rosmin turut menyangkal dakwaan AIM tidak relevan, sebaliknya merasakan anugerah berkenaan masih signifikan apatah lagi dinilai barisan juri berpengalaman.
“Acara ini dinantikan seluruh warga industri tanah air dan masih relevan. Berbeza dengan anugerah sedia ada kerana penilaiannya dibuat juri yang pakar dalam industri muzik,” katanya.