KUALA TERENGGANU – Seramai 400 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus bagi memastikan kelancaran aksi Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan Selangor pada malam esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, pihaknya akan mempertingkatkan tahap keselamatan di dalam dan luar stadium selain pemantauan di setiap pintu masuk.
Tegas beliau, penonton tidak dibenarkan membawa masuk barang terlarang seperti mercun, suar, topi keledar, pemetik api, pemancar laser dan objek tajam di kawasan stadium.
“Saya juga ingin menasihatkan penonton agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.
“Tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang ditangkap jika membuat perhimpunan, perarakan atau provokasi berbentuk sindiran dan hinaan yang boleh mencetuskan pergaduhan,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rahim memberitahu, anggota polis trafik juga akan ditempatkan bagi mengawal aliran dan mengelak kesesakan lalu lintas pada hari perlawanan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, seramai 30,000 penonton dijangka membanjiri stadium termasuk 1,500 penyokong The Red Giant.
Menurutnya, sebanyak 16,500 keping tiket berharga RM20 telah habis terjual menerusi dalam talian sejak mula dipasarkan 30 Julai lalu manakala 13,500 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal pada hari perlawanan esok. – KOSMO! ONLINE