fbpx

Tiada kes positif Covid-19 di Penjara Reman P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. Danial Menyampaikan ceramah sempena Sambutan Maal Hijrah di Penjara Reman Pulau Pinang, George Town di sini hari ini. /FOTO IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN -Tiada kes positif Covid-19 dicatatkan di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lalu ekoran kawalan ketat yang dijalankan bagi mengelak penularan wabak itu.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail berkata, beberapa prosedur operasi standard yang ketat dijalankan bagi sebarang kemasukan banduan baharu ke penjara berkenaan bagi memastikan Penjara Reman Pulau Pinang bebas wabak berkenaan.

“Sejak Jun tahun lalu, tiada kes positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan penghuni Penjara Reman Pulau Pinang.

“Kita menyaring dengan ketat kemasukan banduan baharu di mana mereka akan dikuarantin terlebih dahulu di Penjara Satelit Bukit Mertajam dan kemudian akan dikuarantin sekali lagi di Penjara Reman Pulau Pinang sebelum ditempatkan di dalam sel,” katanya selepas majlis sambutan Maal Hijrah di Penjara Reman Pulau Pinang di sini hari ini.

Seramai 340 penghuni penjara tersebut mengikuti program ceramah khas dari penceramah bebas, Datuk Dr. Danial Zainal Abidin sempena majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Penjara Reman Pulau Pinang.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 98 peratus penghuni penjara berkenaan telah divaksin dengan vaksin jenis Cansino dan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan penghuni bebas daripada Covid-19.

“Hanya sekitar dua peratus sahaja banduan yang masih belum menerima vaksin Covid-19 kerana mereka adalah penghuni baharu di penjara ini.

“Pihak kami juga akan menghantar laporan kepada KKM mengenai situasi terkini keadaan Covid-19 di penjara dan pihak KKM turut memantau keadaan di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini terdapat 1,058 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang dan keadaannya masih dalam kawalan.

“Kapasiti penjara ini adalah sekitar 700 hingga 1,200 orang dan setakat ini masih boleh dihuni dengan selesa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI