fbpx

Tambang feri ke Langkawi naik mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tambang feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah akan dinaikkan mulai esok.

LANGKAWI – Pihak pengurusan feri, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. mengumumkan kenaikan kadar tambang bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa esok.

Kenaikan harga tiket antara RM3 hingga RM11.50 itu melibatkan penumpang warga tempatan dan warga asing, manakala tambang bagi penduduk Langkawi, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas adalah kekal.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, harga tiket bagi penumpang tempatan dewasa dan kanak-kanak bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis naik RM3, menjadikan tambang baharu masing-masing RM21 dan RM16.

“Bagi penumpang bukan warganegara pula, tambang bagi penumpang dewasa naik RM9 dan kanak-kanak RM6.50 menjadikan kadar tambang terbaharu masing-masing RM27 dan RM19.50,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. merupakan gabungan tujuh syarikat feri penumpang terbesar di negara ini.

Katanya, bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah pula, harga tiket bagi penumpang tempatan dewasa dan kanak-kanak naik RM3.50, menjadikan tambang baharu RM26.50 dan RM20.50 bagi dua kategori tersebut.

“Sementara kadar tambang bagi penumpang bukan warganegara bagi laluan itu naik RM11.50 bagi dewasa dan RM8.50 kanak-kanak. Harga terkini tambang bagi warga asing adalah RM34.50 dewasa dan RM25.50 kanak-kanak,” jelasnya.

Menurut Baharin, harga tiket bagi penduduk Langkawi kekal iaitu dewasa RM15 dan kanak-kanak RM10 bagi laluan Kuala Perlis, manakala bagi laluan Kuala Kedah dewasa RM20 dan RM14.

“Kadar tambang bagi OKU bagi laluan Kuala Perlis dan Kuala Kedah masing-masing RM10 dan RM14 sementara warga emas pula RM13 dan RM17,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kali terakhir kenaikan kadar tambang bagi laluan tersebut adalah pada 15 Disember 2007 iaitu RM5 bagi laluan Kuala Kedah dan RM3 bagi Kuala Perlis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI