SABAK BERNAM – Kerajaan negeri disaran supaya mewartakan kawasan di perairan negeri ini sebagai Taman Laut Negara bagi melindungi dan memulihara habitat marin akuatik.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, beberapa lokasi sudah dikenal pasti jabatan itu antaranya di Pulau Angsa, Kuala Selangor.
Katanya, tempoh permohonan kajian taman laut mengambil masa setahun dan akan dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ke peringkat Persekutuan.
“Pewartaan taman laut tidak semestinya melibatkan kawasan seluas dua batu nautika kerana di Melaka hanya 500 meter daripada pesisir pantai atau 100 kilometer persegi yang menjadi habitat ikan dan terumbu karang.
“Di Selangor, Pulau Angsa dilihat sesuai untuk dijadikan taman laut namun Pulau Ketam sebaliknya kerana dihuni penduduk,” katanya selepas program Melabuh Tukun Tiruan Dasar Lembut di perairan Sabak Bernam di sini, hari ini. -KOSMO!ONLINE