SHAH ALAM – Selangor antara enam negeri menjadi fokus utama kepada bomba dalam menghadapi bencana banjir pada tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Seri Ts. Mohammad Hamdan Wahid berkata, negeri lain yang turut difokuskan adalah Kedah, Sabah dan Sarawak dan dua negeri di Pantai Timur ( Kelantan dan Pahang) dengan kesiapsiagaan dipertingkatkan setiap masa.
Katanya, dalam keadaan cuaca tidak menentu ini pihaknya telah mengerakkan logistik dan sumber manusia di pangkalan hadapan di kawasan hotspot.
“Apabila dapat laporan daripada orang tempatan, kita akan menghantar pasukan untuk melihat keadaan sama ada paras air, hujan semakin teruk atau tidak. Bila perlukan bantuan akan bergabung dengan agensi lain.
“Lesson learnt (pengajaran) daripada yang lepas telah diambil kira dan melakukan analisa serta tambah baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Istiadat Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM dan Pentauliahan Briged Bomba Politeknik Malaysia, hari ini.
Pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Zainab Ahmad dianugerahkan Penolong Pesuruhjaya Bomba Kehormat dengan enam pegawai Politeknik dianugerahkan Penguasa Kanan Bomba II kehormat serta 60 Briged Bomba Politeknik Malaysia.
Mohammad Hamdan memberitahu, pihaknya juga telah memberdayakan komuniti supaya mengetahui lokaliti, faktor persekitaran serta terlatih mengendalikan kecemasan peringkat awal untuk keluarga dan jiran seterusnya membantu agensi keselamatan.
Ujarnya, ini berikutan mereka lebih memahami keadaan sekeliling mereka yang boleh digunakan dalam operasi penyelamatan secara besar-besaran.
“Contohnya banjir berlaku di Selangor, kita juga bawa main power (anggota) dari negeri lain yang mungkin tidak tahu lokaliti berkenaan.
“Ini termasuk pagar, substesen elektrik yang ditenggelami air, orang tempatan lagi tahu. InsyaAllah, kita berdoa agar tidak berlaku bencana seperti tahun lepas yang lebih ekstrem,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mod kesiapsiagaan telah bermula sejak 2020 lagi ketika pandemik melanda negara dengan rentak kesiapsiagaan tidak pernah diturunkan JBPM.
“Selain itu, lebih 1,000 anggota baharu akan ditempatkan di seluruh negara termasuk di enam balai baharu,” katanya. -KOSMO!ONLINE