PUTRAJAYA – Selepas Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) diperkenalkan akhir Mac lalu, Projek Perlindungan Sosial Malaysia pula dilancarkan dengan memfokuskan kepada kebajikan golongan rentan.
Uniknya, projek khas diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu akan turut mendapat kerjasama erat daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menerusi Agensi Program Pembangunan PBB (UNDP), kedua-dua pihak itu bakal melakukan koordinasi dan memudah cara usaha perlindungan sosial tempatan agar lebih berdaya cekap.
Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Ruji Ubi berkata, projek berkenaan akan menyokong PDPS yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Mac lepas.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan UNDP dalam sokong segala sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif dan lestari,” katanya ketika berucap pada acara pelancaran itu, di sini hari ini.
Selain perasmian, acara tersebut turut diisi dengan ucap tama Penolong Setiausaha Agung PBB, Kanni Wignaraja serta Wakil Tetap UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, Niloy Banerjee.
Lebih 100 peserta yang terdiri daripada para penggubal polisi awam yang meliputi pelbagai agensi PBB selain badan pemikir tempatan dan antarabangsa itu menghadiri program berkenaan.
Projek Perlindungan Sosial Malaysia dengan tema ‘Pengukuhan Dasar demi Pertumbuhan dan Inklusif’ merupakan usaha sama antara kerajaan dan UNDP dengan sasaran kelompok rentan.
Program jangka panjang secara berterusan itu bermatlamat membantu golongan terkesan pasca pandemik Covid-19 untuk kembali pulih dengan akhirnya mengurangkan jurang sosioekonomi.
Mengulas lebih lanjut, Ruji menambah, projek khas tersebut merupakan inisiatif kesinambungan usaha Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diwujudkan kerajaan pada 2019 lalu.
“Dengan dibarisi 15 menteri dan empat jawatankuasa kerja diselaraskan ICU JPM sebagai sekretariat, majlis ini turut membuktikan iltizam kerajaan untuk membantu rakyat yang rentan,” tegasnya.
Bahkan ujar beliau, PDPS yang bakal beroperasi sepenuhnya menjelang 2025 nanti, akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan untuk golongan sasar secara lebih optimum. – KOSMO! ONLINE