fbpx

Perodua terima 24,265 tempahan bulan Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perodua Alza baharu antara model yang mendapat permintaan tinggi, dengan merekodkan 39,000 unit tempahan setakat ini.

PETALING JAYA – Kenderaan Perodua terus menerima permintaan kukuh dengan merekodkan 24,265 tempahan sepanjang bulan lalu, meskipun cukai jualan bagi kenderaan baharu telah diperkenalkan semula pada 1 Julai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, meskipun bilangan tempahan tidak setinggi enam bulan pertama tahun ini disebabkan insentif pelepasan cukai jualan, ia masih lebih baik berbanding jangkaan.

“Alza baharu turut menerima tempahan tinggi, dengan penerimaan 39,000 tempahan sejak ia dibuka, termasuk 9,000 unit tempahan pada Julai berbanding sasaran jualan awal sebanyak 3,000 unit sebulan.

“Walaupun angka jualan kukuh, masih terdapat isu yang belum selesai seperti kekurangan tenaga kerja dan bekalan cip semikonduktor yang masih belum stabil.

“Akibatnya, jualan bulanan kami merosot sebanyak 13.3 peratus kepada 18,346 pada bulan Julai berbanding 21,164 kenderaan yang dijual pada bulan Jun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainal Abidin

Perodua menjual 145,689 unit kenderaan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, 48.7 peratus lebih tinggi berbanding 97,945 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun 2021.

Zainal Abidin menambah, jumlah jualan industri automotif tahun ini berpotensi melangkaui sasaran 630,000 unit yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini, yang menyemak naik sasaran awal untuk 2022 daripada 600,000 unit.

“Hampir kesemua jenama kenderaan di negara ini menerima tempahan yang banyak kerana pelanggan ingin mendapat initiatif pengecualian cukai jualan dan saya percaya industri automotif dapat melepasi unjuran tambahan 30,000 unit yang diumumkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI