BEIJING – Lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei merupakan satu bentuk provokasi yang telah dirancang bagi tujuan mencetuskan konfrontasi besar-besaran dengan China, demikian menurut seorang pakar kajian berkaitan anti imperialisme seperti dilaporkan laman berita RT.
Ketua Pusat Kajian Kaunter-Hegemoni, Tim Anderson berkata, beliau melihat lawatan tersebut sebagai ‘muslihat’ Washington.
“Mereka (AS) akan berkata bahawa ia adalah ‘perang China’, sama seperti mereka menggelar ‘perang Russia’,” katanya.
Tambah Anderson, dengan kerahan tentera AS ke Taiwan bagi memastikan keselamatan delegasi Pelosi, ia semestinya mencetuskan tindakan agresif dari Beijing.
“Pelosi berkunjung ke Taiwan dengan diiringi oleh aset ketenteraan AS. Terdapat sejumlah besar kapal perang mengiringi lawatan beliau,” ujarnya.
Jelas Anderson, dengan mengambil kira pendirian Washington sebelum ini yang mengiktiraf Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayah China, langkah tersebut boleh dianggap sebagai ‘pencerobohan tentera’.
“Bayangkan sekiranya China menghantar tenteranya ke Puerto Rico atau mana-mana wilayah AS, Washington pasti tidak akan berdiam diri.
“Saya pasti keadaan akan turut sama menjadi tegang,” jelas beliau. – Agensi