PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan bahawa mesej yang tular di media sosial mengenai fenomena Alphelion akan terjadi esok sehingga penghujung Ogos.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, rantaian mesej itu adalah palsu dan tidak benar.
Jelasnya, mesej itu dikitar semula setelah ia tular baru-baru ini.
“Mesej tersebut, tentang kejadian fenomena Alphelion yang tular di media sosial sememangnya palsu dan tidak benar.
“Malah mesej itu hanya dikitar semula, cuma tukar tarikh sahaja,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Tambahnya, fenomena Alphelion berlaku di mana kedudukan bumi berada dalam orbit yang paling jauh dari Matahari.
Jelasnya, fenomena itu tidak akan memberi kesan kepada bumi dan negara.
“Tiada kesan kepada bumi dan negara, sewaktu musim panas, matahari berada jauh dari bumi, sebaliknya semasa musim sejuk matahari lebih hampir dengan bumi.
“Ia adalah fenomena semulajadi yang berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbit yang berbentuk eliptikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, satu rantaian mesej tular di media sosial mengaitkan akan terjadi fenomena Alphelion bermula esok hingga 22 Ogos nanti.
Fenomena tersebut akan menyebabkan cuaca menjadi lebih sejuk berbanding tahun lepas dan tidak pernah terjadi sebelum ini.
Ia akan mengakibatkan badan manusia akan menjadi sakit, tekak tersumbat malah sehingga masalah pernafasan berlaku. – KOSMO! ONLINE