KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah mendapat sebarang arahan atau titah daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung pelantikan Jho Low dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu sebagai individu yang terlibat dalam penubuhan tabung kekayaan berdaulat (soveriegn wealth fund) negeri terbabit daripada peringkat awal lagi, beliau turut menafikan pembabitan Sultanah Terengganu itu dalam TIA.
“Saya selaku Ketua Eksekutif Kanan ketika itu yang telah menubuhkan TIA. Memang tidak pernah Sultanah Terengganu terlibat dalam apa-apa jua keputusan dan pertemuan. Saya tidak pernah bertemu dengan Sultanah Terengganu semasa kami (Kerajaan Negeri Terengganu) menubuhkan TIA malah tidak pernah menerima pandangan, nasihat atau apa-apa juga perkara berkaitan TIA.
“Tidak pernah sekalipun saya bertemu atau bersua dengan Sultanah Terengganu ketika TIA itu ditubuhkan, sebab itu saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah menerima arahan, titah atau sebagainya yang mengatakan (kerajaan negeri) perlu lantik Jho Low atau sesiapa sahaja,” katanya.
Ahmad yang merupakan saksi plaintif ketiga berkata demikian ketika memberi keterangan secara dalam talian dalam perbicaraan kes saman fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap pengarang Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua lagi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Untuk rekod TIA mula ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dan pada ketika itu, Ahmad merupakan Menteri Besar Terengganu. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga 12 Mei 2014.
Pada 25 September 2009, TIA telah ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Pusat.
Isnin lalu ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Americk Singh Sidhu, Tuanku Nur Zahirah bertitah bahawa Baginda tidak faham kerana namanya disebut oleh Clare dengan mengaitkannya dengan Jho Low.
“Saya tak pernah kenal dia (Clare), saya tidak pernah terlibat dengan politik, mungkin dia nak dapat keuntungan dengan memburukkan nama orang. Saya tak kenal dia pun,” titah Sultanah Nur Zahirah.
Sultanah Nur Zahirah juga ketika disoal balas menyatakan Baginda tidak pernah masuk campur hal-hal berkaitan dengan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu atau (TIA).
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee masih lagi berjalan dengan mahkamah mendengar keterangan daripada Clare selaku saksi defendan pertama.
Saman fitnah tersebut difailkan oleh Sultanah Nur Zahirah terhadap Rewcastle Brown atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. pada November 2018.
Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown, membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.
Justeru, baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya. – KOSMO! ONLINE