SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 mula membuka tirai hari ini dijangka menerima sambutan yang amat menggalakkan.
Pameran dwitahunan yang kali terakhir diadakan pada 2018 itu akan berlangsung selama 11 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini sehingga 14 Ogos ini.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, persiapan terakhir giat dilakukan petugas sukarelawan, pempamer dan juga peniaga bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pengunjung.
Petugas Sukarelawan Pengurusan Pempamer, Rohaizad Ramly berkata, persediaan yang dilaksanakan hampir dua bulan itu melibatkan pelbagai pihak supaya MAHA 2022 dapat berlangsung dengan lancar.
“Konsep yang dibawa pada tahun ini masih dikekalkan seperti terdahulu, namun kelainan pada MAHA 2022 mengetengahkan lebih banyak pempamer tempatan berbanding sebelum ini.
“Pada tahun ini, kita dapat saksikan lebih ramai pempamer tempatan disebabkan tiada penyertaan daripada pihak antarabangsa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Rohaizad berkata, dia turut menjangkakan kehadiran pengunjung yang luar biasa ekoran penganjuran MAHA tergendala selama empat tahun sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Seksyen Promosi Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Mohd. Firdaus Zakaria berkata, sebagai pempamer yang sinonim dengan penyelidikan pertanian, UPM amat teruja untuk berkongsi maklumat bersama masyarakat.
“Kita harap untuk berkongsi dengan masyarakat tentang hasil pendidikan, kepakaran universiti dan teknologi terkini dalam pertanian dan juga ilmu pemantauan kepada masyarakat umum terutamanya dalam keadaan kita menghadapi krisis keselamatan makanan,” katanya.
Pameran pertanian terbesar dan berprestij itu juga menonjolkan sebanyak 1,500 gerai pameran dengan jangkaan 100,000 kehadiran pengunjung setiap hari.