TAPAH – Kerajaan Perak tidak akan bertanggungjawab terhadap tuntutan kerugian yang dikemukakan oleh mana-mana pihak di atas tanah bukan hak milik termasuk tanah rizab.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, orang ramai sepatutnya sedar bahawa apabila mereka menggunakan tanah kerajaan tanpa kebenaran ia mempunyai risiko untuk menanggung kerugian apabila tanah tersebut diambil semula.
“Sesiapa sahaja yang bercucuk tanam guna tanah kerajaan tanpa kebenaran ia ada risiko untuk menanggung kerugian apabila kerajaan nak balik atau pemilik tanah hendak balik, dia terpaksa pergi.
“Tidak ada ganti rugi kepada segalanya itu, sebab tidak ada siapa yang buat silap itu melainkan orang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Saarani Bersama Bekas Askar (Sebekas) Parlimen Tapah, di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Menurut Saarani, sesiapa sahaja rakyat di negeri ini sekiranya ingin menduduki mana-mana tanah mereka perlu mengenal pasti siapa pemiliknya terlebih dahulu dan sekiranya ia bukan kepunyaan mana-mana pihak tanah berkenaan merupakan hak milik kerajaan negeri.
“Walaupun kita rakyat Perak, kita tidak boleh sewenangnya masuk tanah kerajaan kerana tanah kerajaan ini anda perlu mohon sebelum buat rumah, cucuk tanam dan sebagainya di pejabat tanah dan isi borang.
“Sudah pasti pejabat tanah akan tanya tiap-tiap jabatan teknikal dan kalau semua jabatan mengatakan tiada halangan tanah itu diluluskan biasanya kita luluslah, tapi bila akan diambil semula ia harus diserahkan,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkenaan nasib seorang peneroka tanah kerajaan yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit di Kampung Air Tenang, Tukang Sidin, di Teluk Intan, Mohamad Anuar Arshad, 56, apabila kediamannya dirobohkan minggu lalu. – KOSMO! ONLINE