BALING – “Saya hanya fikir mahu selamatkan diri dan anak-anak apabila melihat air sungai melimpah dengan arus deras memenuhi kawasan rumah.”
Demikian kata penduduk, Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, apabila rumahnya dinaiki air sehingga hampir paras bumbung dalam kejadian banjir kira-kira pukul 6 petang kelmarin.
“Hujan memang lebat pada petang semalam (kelmarin) dan saya memang tidak senang hati bila melihat air Sungai Kampung Teluk Sanau ini semakin naik.
“Setiap masa saya pantau paras sungai sebelum panik apabila melihat aliran air terlalu deras dan melimpah dengan banyak di pekarangan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Ujarnya lagi, dia dan suami kemudian menaiki motosikal dan membawa dua anak lelakinya berusia empat dan 10 tahun ke tempat lebih tinggi tanpa memikirkan barangan di dalam rumah.
“Saya nampak ada batang pokok kayu besar yang turut dihanyutkan arus deras dan dipercayai ia dari kawasan jajaran bukit sama dengan Gunung Inas.
“Tidak jauh dari kawasan kampung ini terdapat kawasan pembalakan yang dipercayai bermula sejak dua tahun lalu,” ujarnya.
Menurutnya, kawasan rumahnya pernah dilanda banjir sebelum ini, namun tidak seteruk kejadian kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Nurul Asyifa Kasim, 30, berkata, dia terus membawa tiga anaknya ke rumah jiran lebih tinggi selepas air memenuhi rumah.
“Sebahagian dinding rumah roboh dan saya rasa sudah tidak selamat lagi untuk mendiami rumah ini.
“Saya harap kerajaan dapat membantu mangsa banjir di kampung terlibat dan tempatkan semua penduduk yang berisiko terlibat bencana ke lokasi lebih selamat,” katanya.
Dalam kejadian banjir kira-kira pukul 6 petang itu, seramai 41 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Habsah Batu 7 dan Dewan Tun Abdul Razak.
Kampung lain terjejas ialah Kampung Rambong Batu, Kampung Benda Sera, Kampung Jernang, Kampung Seratus dan Kampung Tanjung Langsat.