fbpx

Gagal samun kedai runcit lepas berpura-pura jadi pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek (duduk) yang ditahan selepas gagal menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Berek 12, Kota Bharu hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA

KOTA BHARU – Taktik seorang lelaki yang berpura-pura untuk membeli barangan sebelum menyamun menggunakan sebilah parang di sebuah kedai runcit di Jalan Berek 12 di sini hari ini gagal apabila dia dicekup pemilik premis tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, suspek yang berusia 20 tahun itu cedera pada bahu kiri selepas cuba melawan semasa dia ditahan dengan bantuan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun berada di kaunter kedai runcitnya sebelum didatangi suspek yang bersenjatakan parang.

Menurutnya, suspek datang ke premis tersebut bersama seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru, namun rakannya itu menunggu di dalam kereta tersebut.

“Suspek tiba-tiba mengacukan parang ke arah mangsa yang juga pemilik premis itu. Bagaimanapun, mangsa melawan tindakan suspek sebelum berjaya menangkap lelaki itu dengan bantuan orang awam” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, siasatan mendapati, suspek mengaku mahu menyamun kedai itu dan datang ke premis tersebut bersama rakannya, Afiq yang sudah melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi itu.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan. Usaha mengesan dan menangkap rakan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI