KUALA LUMPUR – Dua anggota trafik mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikenakan tindakan tatatertib.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kedua-dua mereka berbuat demikian dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam).
Hamzah berkata, tindakan itu diambil selepas Polis Pulau Pinang membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik berkenaan.
Menurut beliau, mereka mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN tersebut menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.
“PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggotanya susulan video anggota polis trafik mengiringi orang awam yang tular di media sosial.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dipetik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan.
Polis memaklumkan kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia membabitkan kesalahan menggunakan media sosial. – KOSMO! ONLINE