PETALING JAYA – Selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga, pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan mengakui sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.
Pemilik nama lengkap Elizabeth Tan Su Mei, 29, itu juga menetapkan tahun depan sebagai tempoh paling sesuai untuk mempunyai zuriat, susulan jadual kerja yang sangat padat ketika ini.
“Saya sebenarnya sudah bersedia untuk hamil pada bulan lalu tetapi tiba-tiba jadual kerja padat sehingga Ogos.
“Jadi, saya memutuskan tempoh percubaan untuk hamil sehingga Oktober,” katanya kepada Kosmo! Online.
Penyanyi yang mesra disapa sebagai Lizzy itu berkata demikian selepas majlis pelancaran filem lakonannya, Abang Long Fadil 3 di The Ground, di sini.
Menyedari usia semakin meningkat, pelantun lagu Knock Knock itu memberitahu, doktor juga menyarannya untuk hamil sebelum umur memasuki 35 tahun.
Katanya, saranan tersebut diusulkan kerana bimbang akan terdapat sebarang komplikasi berlaku pada kandungannya kelak.
“Sebagai seorang wanita, kita ada biological clock dan tahun depan saya sudah berusia 30 tahun.
“Doktor pun nasihat supaya hamil sebelum usia 35 tahun bagi mengelakkan bayi mengalami autism.
“Jadi, saya akan cuba untuk hamil pada penghujung tahun ini,” tutur pelakon drama Gerak Khas Undercover berkenaan.
Sementara itu, dia juga mengakui turut melalui dilema bagi memutuskan sama ada dirinya sudah bersedia untuk memegang status seorang ibu ataupun tidak.
“Susah sebenarnya untuk memutuskan sama ada ingin mendapatkan anak atau tidak.
“Saya tahu yang saya perlu mengorbankan sebahagian besar karier sebagai penyanyi dan pelakon apabila sudah memegang status seorang ibu.
“Mungkin selepas jadi mak, watak-watak yang diberikan juga akan berlainan atau kurang tawaran. Saya ambil masa setahun untuk mempersiapkan mental ke arah itu,” kata Lizzy yang mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan pada Mac tahun lalu.
Selain Lizzy, filem Abang Long Fadil 3 turut dibintangi barisan pelakon hebat lain antaranya Zizan Razak, Johan, Maya Karin, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Shuib, Kazar, Datuk AC Mizal, Joey Daud, Khir Rahman, Jay Iswazir, Daniella Sha dan Siraj.
Filem Abang Long Fadil 3 bersedia menggegarkan pawagam Malaysia, Singapura, Brunei bermula 8 September depan. – KOSMO! ONLINE