LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan keputusan kelab itu melanjutkan kontrak Diogo Jota bakal melonjakkan lagi mutu permainan The Reds pada musim baharu nanti.
Sambil menghamburkan pujian terhadap kualiti yang ada pada bintang dari Portugal itu, Klopp juga merasakan langkah Liverpool itu sebagai sesuatu yang bijak kerana mampu menghadirkan lebih banyak pilihan buatnya untuk membariskan skuad terbaik.
“Saya boleh katakan yang ini adalah berita hebat. Kualitinya tidak boleh dipertikaikan, dia juga mampu untuk menjaringkan gol, malah sentiasa bekerja keras untuk pasukan.
“Jota mampu bermain di setiap peranan serangan, miliki sikap yang baik, sekali gus melengkapkan pakej sebagai pemain berkualiti. Sebagai penyerang yang mampu beraksi di bahagian sayap, dia pastinya berikan saya lebih banyak pilihan dan dia sentiasa pamerkan peningkatan.
“Seperti saya katakan sebelum ini, Diogo adalah seorang pemain yang menjadi harapan dan ia akan diteruskan lagi selepas ini,” katanya.
Menerusi perjanjian baharu ini, Jota akan kekal di Anfield sehingga 2027 dan berita ini pastinya menambahkan lagi kekuatan serangan The Reds selepas kelab berjaya melanjutkan kontrak Mohamed Salah dan mendapatkan khidmat Darwin Nunez.
Sejak menyertai Liverpool 2020, hanya Salah dan Sadio Mane yang berjaya menjaringkan lebih banyak gol, kedua-duanya meledak 60 dan 39 gol, manakala Jota merekodkan 34 jaringan.
“Saya memainkan peranan berbeza dan ia pasti akan membantu saya menjadi pemain lebih baik. Apa pun kami perlu terus pamerkan peningkatan kerana saya merasakan prestasi saya belum lagi mencapai tahap terbaik,” kata Jota. – AGENSI