fbpx

China pertingkat ancaman perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tentera Taiwan melancarkan peluru berpandu ketika latihan ketenteraan Han Kuang berhampiran pelabuhan tentera laut Suao di daerah Yilan pada 26 Julai lalu. - AFP

BEIJING – China mengerahkan aset-aset ketenteraannya ke lokasi-lokasi berhampiran Taiwan kelmarin, sejurus sebelum dan selepas ketibaan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei, sekali gus meningkatkan kebimbangan berkaitan kemungkinan tercetusnya perang di wilayah itu.

Menurut stesen penyiaran NDTV, beberapa jet pejuang China dilihat terbang hampir dengan garisan tengah yang memisahkan Selat Taiwan, awal pagi kelmarin, kata seorang sumber.

Beberapa kapal perang China turut dirakam belayar berhampiran dengan garisan tersebut sejak Isnin lalu.

Sumber berkata, kesemua kapal perang dan jet pejuang ditempatkan dalam kedudukan begitu hampir dengan lokasi tersebut, satu gerakan luar biasa yang disifatkan ‘amat provokatif’.

Pesawat milik China juga berulang kali melakukan gerakan taktikal yang ‘menyentuh’ garisan tengah dan kembali ke bahagian lain di selat itu, manakala jet pejuang Taiwan berada dalam keadaan bersiap sedia di lokasi berhampiran.

Dalam masa sama, beberapa hantaran yang dikongsikan di media sosial turut memaparkan konvoi kenderaan berperisai dan beberapa peralatan ketenteraan lain di jalan-jalan raya berhampiran dengan sempadan Taiwan.

Klip-klip video tersebut menunjukkan deretan aset ketenteraan milik Beijing melalui jalan raya yang sibuk dengan kenderaan lain.

Rakaman lain pula menunjukkan pengunjung sebuah pantai kelihatan terpegun melihat barisan kereta kebal tentera China melalui kawasan pinggir pantai tersebut, beberapa jam sebelum Pelosi tiba di Taipei.

Video tersebut yang menjadi tular di laman media sosial, WeChat, dikatakan dirakam di pantai dalam wilayah Fujian, yang menjadi lokasi terdekat dengan wilayah Taiwan.

Sejurus selepas Pelosi mendarat di Taipei, lewat kelmarin, China mengumumkan bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) akan menjalankan lima latihan tembakan langsung, iaitu latihan menggunakan peluru hidup di beberapa lokasi sekitarTaiwan, lapor akhbar Financial Times.

Ia termasuk di luar pantai timur di mana aktiviti ketenteraan PLA menjadi semakin aktif selama beberapa tahun ini.

“Bermula dari petang 2 Ogos, PLA akan memulakan beberapa siri operasi ketenteraan bersama.

“Operasi-operasi tersebut bertujuan sebagai protes tegas ke atas peningkatan tindakan-tindakan negatif AS berkaitan isu di Taiwan serta sebagai amaran keras bagi sebarang cubaan untuk mendapatkan ‘kemerdekaan’ Taiwan,” kata Beijing.

AFP melaporkan, latihan tersebut termasuk tembakan peluru hidup jarak jauh di Selat Taiwan, yang memisahkan pulau itu dengan tanah besar China.

Pada beberapa ketika, zon operasi ketenteraan China akan dijalankan dalam jarak 20 kilometer dari garis pantai Taiwan, demikian menurut koordinat yang dikongsikan PLA.

Beijing pada minggu ini memberi amaran untuk menjalankan latihan ketenteraan besar-besaran sebagai tanda protes terhadap lawatan Pelosi ke pulau miliknya itu.

Sementara itu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen semalam berkata, pulau itu tidak akan berundur ketika ancaman ketenteraan Beijing ditingkatkan semasa lawatan Pelosi.

“Meskipun berdepan dengan peningkatkan ancaman ketenteraan, Taiwan tidak akan berundur. Kami akan terus bertahan demi demokrasi,” katanya dalam satu majlis yang dihadiri Pelosi di Taipei. 

Dalam pada itu, pegawai-pegawai di Taiwan meminta penduduk agar kekal bertenang di tengah-tengah ketegangan tersebut.

“Kementerian Pertahanan memantau rapat situasi semasa dan mengukuhkan persediaan bagi sebarang kebarangkalian. Kami akan bertindak balas dengan sewajarnya pada waktu yang perlu,” kata kementerian berkenaan. – AFP/AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI