LUMUT – Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kerana menangkap ikan di zon larangan serta menggunakan kru warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah, berhampiran perairan Pulau Katak, dekat sini semalam.
Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, tangkapan itu dilakukan oleh bot pasukan itu pada kedudukan tiga batu nautika tenggara Pulau Katak, sekitar pukul 5.15 petang.
“Ketika itu, bot pasukan sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk, sebelum mengesan bot nelayan tersebut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot yang dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan dan kru warga Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 48 tahun sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kru warga indonesia tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh.
Justeru, jelas beliau, tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, kesemua kru, bot serta 80 kilogram ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut.
Sebarang maklumat atau aduan jenayah maritim, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi APMM Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – KOSMO! ONLINE