PETALING JAYA – Seramai 73 penjawat awam telah ditahan sejak tahun 2020 bagi siasatan di bawah kesalahan pemerdagangan orang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 33 penjawat awam disiasat dan 13 daripadanya telah dituduh di mahkamah, 16 dibebaskan dan empat lagi masih dalam siasatan.
“Bagi statistik Jabatan Imigresen (JIM) pula, 40 individu telah disiasat membabitkan enam di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, siasatan imigresen (5 orang) dan 27 orang telah dikenakan tindakan tatatertib, buang kerja serta dua telah meletak jawatan.
“Kita beri tumpuan ke atas perkara ini apabila menerima aduan daripada semua pihak dan seluruh dunia, kita cuba segala ada di tangan kita ini kalau perlu ditambah baik kita beri penambahbaikan. Kita tidak mahu lagi dalam negara ada perhambaan moden yang menjadikan imej negara buruk.
“Sebab itu apa yang kita perlu hari ini adalah kerjasama kerana kita menggunakan dua undang-undang iaitu Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah, Sri Damansara hari ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai laporan Malaysia kekal pada tahap tiga dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022, beliau berkata, pihaknya akan mendokumentarikan operasi serbuan dan tangkapan yang dijalankan.
“Beberapa tahun sebelum ini, kita hanya menerima laporan bertulis yang diberikan untuk Laporan Tahunan Jabatan Negara AS dan kali ini saya mahukan video-video menangkap dan operasi dilakukan. Bila buat tangkapan atau dibebaskan, akan dijadikan satu dokumentari bahawa ini tugas yang telah kita lakukan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.